29.10.08

Kenapa Perlu Ada Pengurusan Islami?

Keperluan terhadap pengurusan berteraskan Islam ini belum dirasai oleh ramai orang dan oleh itu, belum menjadi keutamaan, walaupun banyak pengurusan berasaskan Islam cuba diusahakan. Dalam kebanyakan kes, pengurusan Islami cuba direalisasikan dalam keadaan pengurusannya bercampur aduk dengan pengurusan cara konvensional. Manakala fungsi pengurus kepada pengurusan Islami itu sendiri tidak cuba diangkat sebagai khalifah dan hamba Allah. Pengukur pengurusan yang dipakai pula masih sama dengan pengukur pengurusan konvensional seperti pendapatan per kapita, keluaran kasar negara dan sebagainya yang terikat kuat dengan nilai-nilai kuantitatif dan materialis. Matlamat pengurusan masih tersangkut kepada matlamat pemaksimaan pengeluaran dan kepenggunaan, bukan kepada matlamat merealisasikan perjanjian dengan Allah dan mencari keredhaanNya agar manusia bahagia di dunia dan di akhirat. Pembangunan masih menjadi tuan kepada manusia dan bukan alat manusia membuktikan perjanjian mereka dengan Allah dan alat mencari keredhaan Allah SWT. Malah urusan pembangunan yang dikatakan ‘berteraskan Islam’ itu masih dilingkungi kuat oleh falsafah dan paradigme pengurusan konvensional.

Untuk mengatasi segala permasalahan ini serta merealisasikan satu bentuk pengurusan berteraskan Islam secara efektif dan berjaya, sistem pengurusan berteraskan Islam mestilah dibentuk. Inilah yang menjadi keutamaan Akademi Pengurusan YaPEIM iaitu untuk mengangkat dan memartabatkan pengurusan Islami.

Kita lihat bahawa pengurusan Islami ini juga releven dan perlu kerana pengurusan Islami mampu mengimbangi sistem pengurusan konvensional yang agak ekstream. Sebagai contohnya, sistem pengurusan ala Bushido Samurai yang mempergunakan sumber daya insan secara maksima sehingga terabai fitrah kemanusiaan. Manakala sistem pengurusan kapitalisme pula mementingkan produktiviti melebihi segalanya. Begitu juga dengan komunisme yang berjiwa bebas sehingga menerobos hak dan kepentingan orang lain. Pada masa yang sama, hak-hak kemanusian terhadap Penciptanya tidak ditekankan pada hal manusia terikat secara langsung dengan Penciptanya dalam setiap urusan.

Keterikatan manusia dengan Penciptanya Yang Maha Agung dapat dilihat dari sudut pengurusan Islami yang mana manusia bekerja untuk kepentingan diri dan masyarakat tanpa mengabaikan fungsinya sebagai khalifah dan hamba Allah. Melalui dwi-fungsi inilah menjadikan Pengurusan Islami sebagai terbaik kerana akan wujud kesederhanaan dalam pengurusan dan tidak lagi menjadikan manusia sebagai pelahap yang mengaut keuntungan semata-mata. Malah manusia bekerja dan meningkatkan keuntungan demi kesejahteraan di dunia dan Akhirat.

Konsep dan nilai yang digunapakai dalam pengurusan Islami juga sesuai pada semua tempat dan keadaan. Ini terserlah dengan wujudnya budaya hormat-menghormati, saling menyayangi, berkerja sama dan sebagainya. Malah, tepat sekali kalau kita gambarkan bahawa Pengurusan Islami ini sebagai universal dan antarabangsa yang mana adalah menjadi asas Islam, tidak mementingkan sesuatu kaum dengan kaum yang lain dan juga tidak melihat warna kulit seseorang. Dengan kata lain, Islam tidak berdiskriminasi dalam hal pengurusan. Siapa yang paling layak itulah yang akan diletakkan pada tempatnya.

Dua sumber utama Islam, al-Quran dan Sunnah Nabawi adalah tunjang utama kepada Pengurusan Islami. Kedua-duanya merupakan wahyu dari Pencipta, Yang Maha Mengetahui keadaan manusia yang diciptaNya. Kedua-duanya itu juga berfungsi sebagai penunjuk jalan kepada kehidupan manusia serta penghalang kepada kesesatan.

Maka, tanpa ragu-ragu, Pengurusan yang berasaskan Islam ini perlu dikembangkan dan digunapakai di semua institusi dan organisasi supaya masalah yang melibatkan pengurusan ini dapat diselesaikan.

22.5.08

Foto


Kursus Penghayatan Islam
PD 16 April 2008

7.5.08

MARUAH: SIFAT TAHU MALU DAN KAITANNYA DENGAN TATAKELOLA YANG BAIK (GOOD GOVERNANCE)

MARUAH: SIFAT TAHU MALU DAN KAITANNYA DENGAN
TATAKELOLA YANG BAIK (GOOD GOVERNANCE)

Siddiq Fadzil

Bangsa kita sebenarnya adalah bangsa yang memiliki kesedaran yang cukup tinggi tentang maruah dan kehormatan diri. Justeru, maruah adalah salah satu nilai teras (core value) budaya kita. Nilai maruah itulah yang memberikan motivasi dan daya dorong untuk berjuang membina kehidupan yang bermaruah dan terhormat. Bukan watak bangsa kita rela dengan kehidupan yang hina. Dalam kaitan inilah relevannya pesan orang tua-tua agar nasib tidak sampai seburuk kasut. Memang nasib kasut buruk sekali, dari atas diinjak kaki, dari bawah ditusuk duri, sudah usang dibuang orang!.


Skandal Korporat: Pudarnya Kesedaran tentang Maruah

Sejarah dekad pertama abad ini telah ditakdirkan bermula dengan serentetan skandal korporat yang melibatkan sejumlah syarikat gergasi seperti Enron, Worldcom, HealthSouth, Tyco International dan lain-lain lagi. Segalanya berpangkal pada keruntuhan integriti dan etika para petinggi pengurusan syarikat-syarikat tersebut. Mereka rata-rata adalah pengurus-pengurus licik yang cukup mahir memalsukan data dan fakta sehingga para penganalisis ternama pun boleh tertipu. Misalnya, sebuah laporan penyelidikan (Wall Street) menyebut Enron sebagai the best of the best di kalangan syarikat-syarikat terkemuka di Amerika Syarikat. Tiba-tiba tidak lama kemudian (hanya selepas lapan minggu) Enron mencatat sejarah kemuflisan korporat terbesar di Amerika Syarikat.

Jenayah korporat yang meliputi kecurangan-kecurangan seperti penipuan, rasuah, pecah amanah dan yang sejenisnya adalah manifestasi kehilangan maruah dan kehormatan diri. Mereka yang masih memiliki kesedaran tentang nilai maruah tidak akan melakukan apa jua perbuatan yang “tidak bermaruah”.


Tahu Malu: Manifestasi Maruah

Maruah dan kehormatan diri mungkin dapat dipadankan dengan kata dignity dalam bahasa Inggeris. Kata itulah yang dijelaskan oleh Prof. Syed Hussein Alatas sebagai sense of shame, sifat tahu malu yang dimiliki secara kolektif oleh sesuatu bangsa. Sifat tahu malu itulah yang mengawal mereka daripada melakukan sebarang perbuatan yang hina, memalukan, tidak bermoral dan tidak bermaruah. Dalam penjelasan selanjutnya tentang erti dan implikasi dignity, Prof. Alatas menyatakan, “It is undignified to have a dirty surrounding. It is undignified to live in a disorderly and haphazard manner. It is undignified to be subjected to petty corruption and rude treatment. It is undignified to be cheated of your rights. It is undignified to be governed by men with criminal minds, men who spend most of their time plotting to cheat and plunder the state.” (Alatas, S.H., Corruption and the Destiny of Asia, 1999: 113-114).

Demikianlah, kesedaran tentang maruah dan kehormatan diri adalah disiplin dalaman yang paling berkesan untuk mengawal seseorang daripada melakukan perbuatan hina dan keji seperti rasuah, penipuan dan seumpamanya. Justeru, rasuah misalnya, adalah perbuatan yang tidak bermaruah. Pelaku rasuah adalah orang yang tidak tahu malu, tidak tahu nilai dan harga maruah. Kerana itu ia sanggup menjualnya dengan harga murah. Harga dirinya hanya senilai sebuah “envelope”. Kata envelope (amplop) adalah kata yang dipilih oleh Kiai-budayawan Indonesia H.M. Mustofa Bisri untuk menyimbolkan amalan rasuah yang telah mewabak sebagaimana yang diungkapkan lewat puisinya yang berjudul DI NEGERI AMPLOP:

Di negeri amplop
Aladin menyembunyikan
Lampu wasiatnya. Malu.
Samson tersipu-sipu
Rambut keramatnya
Ditutupi topi. Rapi-rapi.
David Coperfield dan Houdini
Bersembunyi. Rendah diri.

(Entah andaikata Nabi Musa
Bersedia datang membawa tongkatnya)

Amplop-amplop di negeri amplop
Mengatur dengan teratur
Hal-hal yang tak teratur menjadi teratur
Hal-hal yang teratur menjadi tak teratur
Memutuskan putusan yang tak putus
Membatalkan putusan yang sudah putus
Amplop-amplop menguasai penguasa
Dan mengendalikan orang-orang biasa
Amplop-amplop membeberkan dan menyembunyikan
Mencairkan dan membekukan
Mengganjal dan melicinkan
Orang bicara bisa bisu
Orang mendengar bisa tuli
Orang alim bisa nafsu
Orang sakti bisa mati

Di negeri amplop
Amplop-amplop mengamplopi
Apa saja dan siapa saja.

Erti dignity atau maruah itu mungkin lebih mudah difahami dengan melihat jelmaan aktualnya dalam sejarah hidup peribadi-peribadi misali seperti Sayyidina `Aliy ibn Abi Talib (karrama ‘Llahu wajhah). Dalam sejarah Islam beliau selalu dilihat sebagai icon politik bermaruah. Ketika musuh politiknya sudah begitu berleluasa mengamalkan taktik perpolitikan yang curang dan tidak bermoral, Sayyidina `Aliy berkata, “Sesungguhnya dia tidak lebih cerdik daripada aku, hanya aku yang tidak sanggup melakukan apa yang dia lakukan. Andainya aku sanggup melakukannya, akulah orang (ahli politik) yang paling licik (the most cunning of all men).” Demikianlah sikap orang yang berasa mempunyai maruah. Bukan beliau tidak pandai bermain politik curang, tetapi tidak mahu, kerana memiliki sense of shame atau tahu malu.

Malu sebenarnya adalah teras nilai moral keagamaan. Demikianlah seperti yang disabdakan oleh Nabi s.`a.w., likulli din khuluq, wa khuluq al-Islam al-haya’ (Setiap agama memiliki moral, dan moral Islam adalah sifat tahu malu). Selain itu ia juga adalah nilai teras dalam tradisi ketimuran. Pada pertengahan tahun lalu (Julai 2007), satu peristiwa penting yang menyangkut isu maruah (malu) telah berlaku di negeri China. Zheng Xiaoyu, mantan ketua SFDA (State Food and Drug Administration) telah dihukum mati atas kesalahan jenayah rasuah ($850,000) meluluskan ubat-ubatan yang belum diuji sehingga mengakibatkan tidak kurang 10 orang menjadi korban. Tetapi kesalahan Zheng seperti yang sebut oleh juru cakap pihak berkuasa Beijing sebenarnya lebih daripada itu. Katanya, “Zheng had brought shame to his agency”. (Newsweek, July 23, 2007). Peristiwa tersebut mengungkapkan hakikat malu (maruah) yang mengakar pada ajaran etika Konfusius itu adalah kekuatan moral yang cukup menentukan di negeri China.


Air Muka dalam Budaya Melayu

Maruah yang kadang-kadang disebut juga dengan istilah Inggeris face atau air muka adalah juga salah satu nilai teras dalam komponen yang disebut Asian values. Hakikat ini dapat disaksikan juga dalam budaya Melayu yang sangat menjaga air muka. Menjatuhkan air muka orang adalah pantang besar dalam budaya Melayu. Hanya orang yang tidak bermaruah sahaja yang rela air mukanya dijatuhkan. Demikianlah ungkapan “tidak tahu malu!” atau “muka tak malu!” menjadi kata-kata penghinaan yang cukup menyakitkan. Menyedari peri pentingnya maruah atau air muka, maka dalam kaedah penyelesaian konflik biasanya dicari formula face saving, menjaga atau menyelamatkan air muka (maruah) semua pihak yang terlibat.

Aspirasi penjanaan umat gemilang hanya akan terlaksana apabila kita memiliki kesedaran yang setinggi-tingginya tentang maruah, dignity dan harga diri. Untuk itu kita harus sanggup merubah diri atau reinvent ourselves, membebaskan diri daripada penyakit rendah dan hina diri. Umat harus dididik dengan nilai-nilai karamah insaniyah (kemuliaan insan) atau human dignity, kehormatan diri dan percaya diri. Jika kita menginginkan umat yang memiliki kehormatan diri, maka kita harus menghormati mereka. Demikianlah seterusnya, jika kita tidak menginginkan umat yang berasa hina diri, maka kita pun janganlah menghina mereka. Dalam kaitan ini rasanya sangat bermanfaat kita merenung peristiwa yang mengandungi pengajaran bagaimana Rasulullah s.`a.w. mendidik umat yang ditimpa penyakit rendah dan hina diri. Peristiwa yang dimaksudkan itu ialah kejadian seorang A`rabiy (badui) yang terketar-ketar ketakutan ketika dibawa mengadap Nabi (s.`a.w.). ketakutan yang dialami oleh A`rabiy tersebut dikatakan terkait dengan kepercayaan terhadap dongeng konon para penguasa (raja-raja) adalalah sejenis dewa, bukan manusia. Melihat keadaan seperti itu, Junjungan s.`a.w. segera menenangkan perasaan tamunya itu dengan kata-kata yang membawa maksud tidak perlu takut kerana beliau adalah manusia biasa, bukan dewa. Dalam peristiwa inilah Rasulullah s.`a.w. memperkenalkan dirinya dengan kata-kata yang menyebut dirinya sama dengan manusia lain dari segi darjat keinsanannya. Katanya, “Aku adalah anak seorang wanita Quraysh yang biasa makan daging kering”. Kenyataan tersebut mengandungi beberapa kata kunci yang membawa implikasi penting. Pertama, yang disebut adalah keturunannya dari sebelah ibu, tidak dari sebelah bapa. Ini adalah suatu kesengajaan untuk memberikan kesan atau impression bahawa latar keturunan Junjungan s.`a.w. adalah orang biasa, sama dengan kebanyakan orang lain. Memang ibunya orang biasa, berbeza daripada bapanya yang berlatar keturunan pembesar Quraysh. Kedua, disebut jenis makanan harian ibunya iaitu al-qadid atau daging kering, makanan orang awam, bukan jenis makanan istimewa yang eksklusif untuk kaum atasan. Mungkin ketika itu jenis makanan harian seseorang adalah indikasi status sosialnya. Demikianlah salah satu cara bijaksana mengembalikan self-respect dan sikap percaya diri di kalangan para penderita penyakit hina diri semata-mata kerana latar darah keturunan dan status sosial.


Prisip Menghormati Manusia

Membina warga yang bermaruah harus dilakukan dengan cara menghormati mereka sebagai manusia bermartabat. Penghormatan terhadap maruah dan martabat keinsanan ternyata membawa kesan positif terhadap prestasi kerja. Hakikat inilah yang cuba diserlahkan oleh Larry Julian dalam bukunya, God is My CEO: Following God’s Principles in a Bottom-Line World. Kita mungkin berasa terganggu dengan judul buku tersebut yang terkesan merendahkan Tuhan ke taraf CEO. Tetapi ada kandungannya yang menarik untuk direnung, terutama idea tentang prinsip uncompromising respect for people (menghormati manusia tanpa kompromi), sebagaimana yang dilaksanakan dalam pengurusan Syarikat Hotel Ritz Carlton. Katanya, “By enhancing employees’ self-worth and dignity, he (Horst Schulze - p) enhances their ability to provide exceptional service to their customer. This core value, providing respect and dignity for every human being, has helped the Ritz Carlton Hotel Company, of which he is CEO, become one of the most successful hotel chains in the world.” Prinsip menghormati dan memuliakan setiap insan itu diterjemahkan secara aktual menerusi motto, “We are ladies and gentlemen serving ladies and gentlemen.” Motto yang dikongsi dan dihayati bersama oleh seluruh warga Ritz Carlton tersebut menjelaskan bagaimana syarikat berkenaan itu menilai, menghargai dan mengapresiasi setiap orang pekerjanya dan juga perkhidmatan yang mereka berikan kepada para pelanggan. (Julian, L. God is my CEO, 2002: 167).

Menghina, meremeh dan memperlekeh bukanlah cara yang benar untuk membina warga yang bermaruah dan berprestasi. Mungkin itulah sebenarnya mesej yang terkandung dalam filem komedi Melayu “Labu-Labi” yang cukup popular itu. Filem tersebut menampilkan watak Haji Bakhil sebagai majikan, pengurus dan pemimpin egois yang mengurus warga kerjanya dengan cara menghina, memperbodoh dan merendah-rendahkan mereka. Sementara itu Labu dan Labi pula adalah manusia lemah yang kehilangan maruah akibat menjadi mangsa pelayanan pengurus atau pemimpin model Haji Bakhil. Mereka tidak berdaya mempertahankan maruah dan tidak berani memprotes walaupun maruah mereka telah dinjak-injak oleh pihak atasan. Mereka hanya mampu memendam rasa yang kemudiannya tersalur dalam mimpi, melakukan pembalasan terhadap penghinaan Haji Bakhil dalam mimpi. Hanya sejauh (mimpi) itulah kemampuan warga yang tidak lagi berdaya. Kerana itu tanggungjawab utama para pengurus dan pemimpin dalam konteks penjanaan warga yang berprestasi ialah melaksanakan agenda pemberdayaan atau empowerment dengan meningkatkan kesedaran tentang maruah dan kehormatan diri.

Selamat Datang Semua

Selamat datang ke blog Kelab Pengurusan Muda Islam (KEMUDI). Blog ini akan menjadi satu alat perhubungan dan penyebaran maklumat tentang Pengurusan Islami yang dibangunkan oleh Akademi Pengurusan YaPEIM.

Di samping itu juga, blog ini akan mengumpulkan sebanyak mungkin individu yang berminat untuk menyertai kelab ini yang mana ahli-ahli kelab ini akan berhubung, berkongsi serta menyalurkan maklumat-maklumat berkaitan Pengurusan Islami melalui blog ini.

Staf YaPEIM dan Peserta-peserta kursus Modul Pengurusan Tauhidik dialu-alukan untuk menyertai kelab ini. Mereka boleh berkomunikasi melalui blog kemudi YaPEIM ini.

InsyaAllah semoga Allah memberi kekuatan dalam melaksanakan hasrat murni ini.
 

blogger templates | Make Money Online